Semalam, Jonathan mengalahkan Xuan Vinh dalam acara 50 meter pistol dengan mengumpul 226.50 mata, manakala perak milik wakil Myanmar, Ye Tun Naung (224.40) dan gangsa diraih Tran Quoc Cuong dari Vietnam (201.8).

Dalam aksi di Lapang Sasar Menembak Subang itu, dia turut membantu Malaysia memenangi acara berpasukan bersama Eddy Chew dan Choo Wen Yan.

 

Kombinasi tersebut mengumpul 1,650 mata, menewaskan pasukan Vietnam (Xuan Vinh, Quoc Cuong, Nguyen Dinh Thanh) di tempat kedua menerusi 1,638 mata.

Menurut Jonathan, biarpun berjaya mengatasi pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016, namun dia percaya, persembahannya belum cukup memuaskan, malah sepatutnya boleh melakukan bidikan lebih baik.

“Prestasi saya masih boleh di­tingkatkan sebab dalam Sukan SEA tekanannya lebih tinggi.

“Apa pun, kemenangan ini sudah pasti memberi motivasi kepada saya untuk menghadapi Sukan SEA. Saya sedar, pada temasya itu saya kena menunjukkan persembahan yang jauh lebih baik kerana cabarannya lebih sukar,” katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini.

Kata penembak berusia 25 tahun itu lagi, mengalahkan Xuan Vinh tidak bermakna dia sudah menjamin emas Sukan SEA atau berada di kemuncak prestasi, sebaliknya percaya, penembak Vietnam itu tidak menunjukkan prestasi sebenarnya semalam.

“Sukar untuk ramalkan apa yang bakal berlaku pada Sukan SEA, tetapi saya tengok prestasi dia (Xuan Vinh) di sini tidak begitu bagus.

“Ini jelas bukan prestasi terbaiknya,” katanya lagi.