Program Khidmat Masyarakat Berkonsepkan Sukan | SPORTS CENTRE
» NEWS » Program Khidmat Masyarakat Berkonsepkan Sukan

Program Khidmat Masyarakat Berkonsepkan Sukan

Program Khidmat Masyarakat Berkonsepkan Sukan

 

SERDANG, 20 April 2019- Pusat Sukan UPM telah mengadakan Majlis Perasmian Program Sekolah Angkat Pusat Sukan bagi UPM 2019. Majlis Perasmian ini diadakan sebagai tanda simbolik  bermulanya  Program Sekolah Angkat bagi tahun 2019.

 

Sebagai rekod, Pusat Sukan UPM telah mula melaksanakan program sekolah angkat sejak dari tahun 2012 lagi bermula dengan sukan Memanah dan sekolah-sekolah yang terlibat adalah SMK Seri Indah, Serdang, SMK Serdang, SMK Seksyen 4 Bangi dan SMK Bukit Mahkota. Setiap tahun permintaan bertambah dari sekolah-sekolah sekitar Serdang dan Bangi memohon untuk mengikuti program Sekolah Angkat dengan tambahan sukan-sukan yang baharu.

 

Sukan-sukan yang dijalankan bagi Program Sekolah Angkat 2019

Bagi tahun 2019 Pusat Sukan UPM telah menetapkan beberapa program sukan dan penglibatan sekolah-sekolah setempat untuk menyertai program selama satu tahun bersama UPM. Antara sukan-sukan yang terpilih untuk dijalankan ialah Program Sekolah

Angkat sukan Memanah, Besbol, T Ball, Ragbi dan Olahraga.

 

Sekolah-sekolah yang terbabit dalam Program Sekolah Angkat bagi tahun 2019

  1. Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Indah (Sekolah Angkat Memanah dan Besbol)
  2. Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Serdang (Sekolah Angkat Memanah dan Besbol)
  3. Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (Sekolah Angkat Ragbi dan Olahraga)
  4. Sekolah Kebangsaan Serdang (Sekolah Angkat Besbol)
  5. Sekolah Rendah Kebangsaan Cheras Jaya (Sekolah Angkat Olahraga dan Besbol)
  6. Sekolah Rendah Seri Serdang (Sekolah Angkat Tee-Ball dan Besbol)

 

 

Objektif Program

Objektif utama Program Sekolah Angkat ini adalah bertujuan untuk memperkenalkan beberapa sukan baharu kepada pelajar sekolah seperti sukan Besbol, T-Ball, Ragbi dan Olahraga serta meningkatkan kemahiran pelajar dari segi teknikal dalam acara sukan yang disediakan. Selain itu juga, Pusat Sukan menyahut seruan Universiti untuk mengadakan program Tanggungjawab Sosial Korporat ( CSR ) bersama komuniti dan sekolah sekolah yang berhampiran. Program yang berkonsepkan pemindahan pembelajaran kepada pelajar-pelajar sekolah dan komuniti ini dianggap bertepatan dengan motto UPM sendiri iaitu ”Berilmu Berbakti”.

 

YBhg. Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan  Alumni UPM semasa merasmikan Majlis Sekolah Angkat UPM bagi tahun 2019 meluahkan rasa bangga beliau terhadap kesungguhan Pusat Sukan UPM dan komitmen sekolah-sekolah setempat dalam menjayakan program seumpama ini. Program seumpama inilah yang harus dibentuk untuk memulakan jati diri murid-murid sekolah daripada awal yang semestinya mendedahkan mereka kepada kepelbagaian kemahiran insaniah untuk dimiliki dan diimplementasikan dalam kehidupan harian.

 

Setiap sekolah juga seharusnya mengambil peluang yang diberikan ini kerana program yang dilaksanakan ini disediakan tanpa melibatkan sebarang yuran kepada sekolah-sekolah yang terbabit. Pihak Pusat Sukan UPM telah menyediakan khidmat tenaga pengajar, peralatan dan tempat latihan secara percuma. Dengan peluang yang dianjurkan ini, pihak sekolah seharusnya komited di dalam menyediakan murid-murid sekolah untuk datang dan belajar teknik-teknik asas sukan-sukan yang ditawarkan di dalam program ini.

Platform penganjuran program Sekolah Angkat yang diadakan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti dan sekolah-sekolah terbabit, tetapi ianya juga memberi peluang kepada tenaga pengajar di kalangan atlet UPM dan kebangsaan untuk memperluaskan pengalaman dan meningkatkan kemahiran insaniah mereka terutama dalam konsep kejurulatihan.

Hasrat UPM

Pusat Sukan UPM berharap satu komitmen yang tinggi daripada semua sekolah yang terlibat dalam Program Sekolah Angkat ini bagi mencapai objektif Universiti dan program seperti ini dapat diteruskan pada setiap tahun dengan pertambahan beberapa buah sekolah serta beberapa acara sukan yang berpotensi menaikkan Mutu Sukan Sukan Negara selaras dengan Pembangunan Sukan daripada akar umbi.

 

Date of Input: 13/05/2019 | Updated: 13/05/2019 | amin_mustafha

MEDIA SHARING

SPORTS CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1288/1351
03-9769 4279
C1563701305