Industri Sukan Perlu Berubah Selaras Normal Baharu | SPORTS CENTRE
» ARTICLE » Industri sukan perlu berubah selaras normal baharu

Industri sukan perlu berubah selaras normal baharu

Sukan menjadi penyumbang utama ekonomi dan pembangunan sosial sesebuah negara. Realiti ini tidak boleh disangkal oleh mana-mana kerajaan kerana ia diikrarkan dalam Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030 di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Refleksi agenda itu menegaskan sumbangan sukan kepada memperkasakan wanita, generasi muda, hak individu dan komuniti terhadap keperluan kesihatan, pendidikan serta inklusif sosial. Apabila pandemik COVID-19 melanda hampir seluruh dunia, penjagaan penjarakan sosial ditekan, perintah kawalan diisytiharkan kepada semua urusan perniagaan, pendidikan, aktiviti kehidupan serta sosial manusia dibataskan hanya di kediaman masing-masing.

Perintah kawalan dilaksana kerajaan hampir seluruh negara memberikan implikasi mencabar kepada industri sukan dunia, aktiviti fizikal dan kesejahteraan. Bagi memastikan tahap kesihatan atlit terjamin dan selamat, semua kejohanan sukan antarabangsa, benua dan kebangsaan ditangguhkan atau dibatalkan.

Sukan seperti maraton, liga bola sepak, kejohanan olahraga, ragbi, hoki, tenis dan banyak lagi sunyi sepi di arena untuk tempoh lama. Temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 juga menerima tempias COVID-19 hingga terpaksa ditangguhkan ke 2021.

Nilai global industri sukan dunia dianggarkan AS$756 bilion (RM3.2 trilion) setiap tahun. COVID-19 menyebabkan jutaan pekerja kehilangan sumber pendapatan termasuk mereka bergiat secara profesional dalam sukan, perniagaan runcit sukan, pembekal, perkhidmatan industri sukan berteraskan liga atau kejohanan seperti perkhidmatan pelancongan sukan, pengangkutan, infrastruktur, katering dan media penyiaran.

Atlet profesional terpaksa menstruktur semula jadual latihan untuk terus kekal cergas di rumah atau berhadapan kehilangan penajaan mereka. Pembatalan dan penangguhan temasya sukan dunia serta benua, memberikan kesan limpahan ekonomi buruk kepada perkembangan sosial sejagat dan benua.

Melalui temasya sukan seperti Kejohanan Ragbi Dunia Tokyo 2019, ia berupaya merapatkan hubungan sesama manusia dalam kalangan peminat ragbi dunia yang hadir dari pelbagai benua, menjana emosi positif dalam kalangan peminat dan mampu menarik minat mereka untuk menjaga kesihatan melalui sukan berkenaan.

Sukan sekian lama diiktiraf sebagai alat paling berkesan dalam merapatkan hubungan antara sesama insan dan mampu menghakiskan batasan bahasa dalam kalangan peminat. Terbukti sukan alat paling berkesan dalam membina transformasi sosial dan perkembangannya amat menakjubkan.

Dari segi model perniagaan sukan pula, secara asasnya pendapatan daripada kejohanan sukan terbahagi kepada tiga aspek utama iaitu penyiaran (penjualan hak penyiaran); aspek komersial (penajaan dan pengiklanan) dan pendapatan hari kejohanan (tiket dan hospitaliti).

Liga sukan profesional secara analoginya bernaung di bawah bumbung hiburan yang setiap liga mempunyai struktur keunikan tersendiri.

Setiap pasukan mempunyai identiti, pekerja dan penyokong masing-masing. Namun, mereka dipayungi peraturan dan penjadualan dirancang serta ditetapkan penganjur.

Sukan dan hiburan mampu menjana pendapatan besar melalui penyiaran dalam pelbagai peranti terkini untuk peminat. Nilai global hak media dalam sukan dikatakan AS$50 bilion (RM214 bilion) setahun dan 60 peratus nilai itu datang daripada 10 liga sukan utama dunia seperti Liga Perdana Inggeris (EPL), Liga Bola Keranjang Nasional (NBA) dan Liga Bola Sepak Nasional (NFL).

Penjanaan pendapatan setiap liga sukan mega ini berbeza secara dasarnya. Secara umumnya, pendapatan kelab akan diagihkan penganjur berdasarkan prestasi kelab, pemberian bonus atas kecemerlangan kelab, sumber daripada penaja kelab dan sumber penyiaran.

NBA mendapat hasil daripada hak penyiaran AS$24 bilion (RM102 bilion) selama sembilan tahun berturut-turut. EPL menjana pendapatan daripada hak penyiaran sebanyak AS$12 bilion (RM51 bilion) untuk tiga musim.

Pengarah Urusan Universal Fitness & Leisure, Datuk Radha Krishnan menyatakan industri sukan Malaysia mampu menjana RM10 bilion setahun.

Pandemik COVID-19 memberi impak jangka panjang kepada ekosistem sukan profesional. Kesan berganda ini memerlukan pemain dalam industri sukan menstruktur perancangan strategik berdepan COVID-19.

COVID-19 menyebabkan ekosistem hubungan antara pekerja, majikan dan pelanggan dalam industri sukan juga perlu berlaku pengubahsuaian apabila mereka berurusan dengan pihak penyiaran, penaja dan rakan kongsi membabitkan perjanjian berasaskan undang-undang serta terma.

Dari aspek kelab dengan peminat dan penyokong, pandemik ini membataskan sokongan peminat kepada pasukan dan ahli sukan pilihan mereka. Pengalaman nyata sekarang, media sosial dengan pelbagai peranti digunakan kelab dan atlet yang sentiasa dikemas kini untuk dikongsikan dengan peminat .

Cabaran paling perit ditanggung kelab atau persatuan sukan masa kini ialah tiada sumber pendapatan daripada penjualan tiket perlawanan dan sewaan ruang hospitaliti.

Keunikan situasi ini memerlukan pengusaha dan penggiat industri sukan mengamal resam baharu membatasi sasaran mereka harapkan.

Menjayakan prosedur operasi standard (SOP) baharu dalam organisasi mereka dalam kalangan tenaga kerja memerlukan susun atur jadual teliti supaya setiap pekerja mampu menyumbang pada tahap optimum.

Mampukah pasukan Liga Malaysia (Liga M) beraksi tanpa penonton dengan roh sama seperti kehadiran penyokong di stadium. Kebenaran untuk mengadakan latihan secara normal biasa masih di bawah pertimbangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan ihsan Kementerian Kesihatan (KKM).

Perkara paling penting, setiap individu terbabit dalam kebenaran berlatih kepada pasukan liga perlu menunjukkan disiplin diri tinggi di padang dan luar padang. Mereka harus berusaha memberikan keyakinan kepada kedua-dua pihak berwajib memberikan lampu hijau untuk berlatih secara normal dan liga boleh bermula secepat mungkin.

Setiap persatuan dan kelab perlu berusaha membina semula hubungan dengan penaja, badan penyiar dan vendor yang turut terpalit dalam COVID-19.

Mereka perlu berbincang bagaimana secara kolektif boleh keluar dengan jayanya daripada krisis luar jangka ini.

Apakah strategi untuk terus berjaya dalam normal baharu. Pemimpin positif dan proaktif melihat setiap krisis mempunyai ruang serta peluang untuk mencipta kejayaan dan keuntungan.

Oleh itu, apakah transformasi lebih luas dan berkesan mesti dilakukan dan direbut untuk meneruskan kelangsungan dalam industri sukan kini dan akan datang.

Semua ini memerlukan semangat kental dan radikal pemain industri sukan seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Oleh Mohd Sadek Mustaffa - Julai 5, 2020 @ 11:01am

Penulis adala Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Reakreasi UiTM Shah Alam

Date of Input: 15/11/2020 | Updated: 16/11/2020 | amin_mustafha

MEDIA SHARING

SPORTS CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1288/1351
03-9769 4279
W1UJUQAM:16:47