Majlis Anugerah Sukan UPM Ke-35/2019 | PUSAT SUKAN
» BERITA » Majlis Anugerah Sukan UPM ke-35/2019

Majlis Anugerah Sukan UPM ke-35/2019

 

Majlis Anugerah Sukan UPM ke-35/2019

30 April 2019 (Selasa)

Bangi Resort Hotel, Bangi

 

Bangi, 30 April 2019 - Atlet Hoki Negara dan UPM, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan dan atlet Olahraga, Zaidatul Husniah Zulkifili, masing-masing telah dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragwati Universiti Putra Malaysia (UPM) 2018 bersempena Majlis Anugerah Sukan UPM ke-35/2019 yang telah diadakan di Bangi Resort Hotel, Bangi.

 

Kejayaan tersebut telah membolehkan mereka masing-masing membawa pulang hadiah kemenangan wang tunai RM 3000.00, jam tangan, jaket, sijil penghargaan, piala iringan, piala pusingan dan tajaan barangan sukan daripada Zecon Sports Sdn. Bhd. Kejayaan mereka pada tahun 2018 dalam pelbagai acara masing-masing di peringkat antarabangsa, kebangsaan dan IPT telah mendorong untuk dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati UPM 2017.

 

Pelbagai Anugerah Lain

Majlis Penyampaian hadiah Majlis Anugerah Sukan UPM ke-35/2019 telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris, Naib Canselor UPM. Turut hadir dalam majlis ini ialah YBhg. Prof. Dr. Roslan Sulaiman (Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, UPM), YBrs. Dr. Hanafiah Ayub, (Ketua Pusat Sukan UPM), dan Dato’ Vincent Chin selaku Pengerusi United States Sports Academy Malaysia (USSA-MY).

 

Sempena majlis tersebut juga, UPM turut menganugerahkan Anugerah Bintang Harapan Lelaki dan Anugerah Bintang Harapan Wanita bagi tahun 2018 kepada Muhammad Shaifuddin Mohd Kamro dan Nur Aliya Ghapar. Kedua-dua mereka merupakan atlet daripada sukan Memanah UPM dan kebangsaan. Pemenang bagi Anugerah Bintang Harapan tersebut masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM 1000.00, jam tangan, sijil penghargaan dan piala iringan serta tajaan barangan sukan.

 

Selain itu, UPM juga telah menganugerahkan seramai 163 orang atlet bagi Anugerah Emas, 53 orang penerima Anugerah Perak, 22 orang Setia Bakti dan 10 orang Penghargaan Khas. Antara penerima Penghargaaan Khas ialah, Cheong Jun Hoong (Terjun), Leong Mun Yee (Terjun), Tracie Ang (Gimnastik), Chong Wei Fu (Judo) dan beberapa atlet kebangsaan yang lain.

 

Aktiviti sampingan

Sempena majlis anugerah sukan tersebut, pihak Pusat Sukan UPM juga telah mengadakan majlis menandatangani Memorandum of Understanding (MoU) di antara UPM dan United States Sports Academy (USSA-MY). MoU ini merupakan perjanjian kerjasama dalam aspek pembangunan sukan, teknologi dan inovasi sukan serta program penyelidikan sukan. Majlis MoU ini telah ditandatangani oleh Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris dan Dato’ Vincent Chin selaku Pengerusi United States Sports Academy Malaysia (USSA-MY). Perjanjian MoU ini turut disaksikan oleh Ketua Pusat Sukan UPM, Pegawai Pengurusan Akademik USSA-MY serta tetamu-tetamu jemputan yang lain.

 

Selain itu, majlis anugerah sukan ini juga telah menyaksikan usaha awal kerjasama antara UPM dan USSA-MY dengan pelancaran buku Modul Pembangunan Kemahiran Sukan Sepak Takraw. Modul panduan latihan ini bakal dikeluarkan dalam 2 edisi iaitu, Modul Pembangunan Kemahiran Sepak Takraw Asas dan Modul Pembangunan Kemahiran Berprestasi Tinggi sukan Sepak Takraw. Panel penulis modul ini terdiri daripada pelbagai pihak yang berpengalaman dan berpengetahuan dalam konsep kejurulatihan sains sukan dan sukan sepak takraw. Antara mereka yang terlibat ialah jurulatih daripada Institut Sukan Negara (ISN) jurulatih Persatuan Sepak Takraw Malaysia, Pegawai-Pegawai Belia & Sukan UPM serta pihak Kementerian Pendidikan Malaysia. Majlis pelancaran modul ini telah disempurnakan oleh Prof. datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris, Naib Canselor UPM.

Tarikh Input: 03/05/2019 | Kemaskini: 13/05/2019 | amin_mustafha

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1288/1351
03-9769 4279
C1574011838