Mun Yee Mahu Sambung Pengajian | PUSAT SUKAN
» BERITA » Mun Yee mahu sambung pengajian

Mun Yee mahu sambung pengajian

Berrita Harian (Sabtu, 4 November 2017) 
 
 
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyampaikan ijazah dalam bidang Komunikasi kepada atlet terjun negara, Leong Mun Yee, pada Majlis Konvokesyen UPM KE 41. - Foto Saifullizan Tamadi

Mun Yee mahu sambung pengajian

 

SERDANG: Selepas menanti selama 10 tahun, penerjun negara, Leong Mun Yee akhirnya mampu tersenyum lebar apabila menggenggam segulung Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.

 

Meskipun sedar dia mengambil masa yang agak lama namun penerjun berusia 32 tahun itu menjelaskan dia tetap boleh berbangga kerana pencapaian dirinya yang dilakar sebagai atlet kebangsaan turut dicipta ketika dirinya bergelar mahasiswa UPM.

 

 

Mun Yee berkata dia menutup pencapaian gemilang peringkat antarabangsa sebagai mahasiswa Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi atlet bersama Pandelela Rinong dengan memenangi pingat emas Kejohanan Terjun Grand Prix FINA, Kuala Lumpur pada 29 Oktober lalu.

Begitupun penerjun yang pernah beraksi di Sukan Olimpik ini dan sudah memenangi 17 pingat emas keseluruhan di Sukan SEA berkata dia tetap berhasrat meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi iaitu Ijazah Sarjana (Master), sama ada dalam bidang yang sama - Komunikasi ataupun Sains Sukan selepas ini.

 

ATLET terjun negara, Leong Mun Yee, bersama ijzah dalam bidang komunikasi pada Majlis Konvokesyen UPM KE 41. - Foto Saifullizan Tamadi

 "Saya rasa sangat gembira kerana akhirnya berjaya menghabiskan pembelajaran kerana saya mula mendaftar sebagai mahasiswa UPM pada 2007. Saya juga gembira kerana dipilih sebagai wakil graduan pada hari ini untuk memberikan ucapan.

 "Bagi saya pelajaran amat penting dan sebab itulah saya memang hendak tamatkan pengajian tanpa mengira berapa lama masa yang diambil malah itu menjadi antara kekuatan buat saya. Bagi saya sebagai seorang atlet, ia amat bermakna kerana kami juga memerlukan pelajaran.

 "Sebelum ini saya tidak terkecuali untuk melengkapkan pengajian dengan menghadiri kuliah, menduduki ujian dan peperiksaan serta menyiapkan segala tugasan yang diberikan seperti rakan yang lain.

 "Sebagai atlet negara saya perlu membahagikan masa untuk latihan sama ada di dalam mahupun di luar negara," kata

Mun Yee ketika ditemui pada Istiadat Konvokesyen UPM di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, hari ini.

Istiadat disempurnakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Mun Yee yang mengambil jurusan Komunikasi berhasrat menerokai bidang berkenaan secara lebih mendalam selepas ini.

Atlet ini juga mengakui akan cuba berjinak-jinak sebagai seorang pengacara di stesen televisyen ataupun arena permodelan, namun perlu mencuba terlebih dulu bagi mengesan bakat yang ada dalam dirinya.

Menyentuh mengenai sukan, atlet dari Perak itu berkata tumpuan turut akan diberikan pada dua temasya berprestij tahun depan iaitu Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia yang dijadual pada April dan Sukan Asia, Jakarta dan Palembang di Indonesia pada Ogos.

Mun Yee yang mula berjinak dalam arena terjun sejak berusia 10 tahun turut mendedahkan bahawa dia belum lagi berniat untuk bersara dari sukan terjun sekali gus akan berusaha untuk menyahut cabaran di temasya nombor satu dunia iaitu Sukan Olimpik, Tokyo di Jepun pada 2020.

 

Tarikh Input: 14/11/2017 | Kemaskini: 05/08/2019 | amin_mustafha

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1288/1351
03-9769 4279
C1574009595