Sirkit IPT Akan Diperkenalkan | PUSAT SUKAN
» BERITA » Sirkit IPT akan diperkenalkan

Sirkit IPT akan diperkenalkan

Kuala Lumpur: Selepas lama menyepi dalam kejohanan kompetitif, atlet terdiri daripada kalangan pelajar universiti akhirnya berpeluang mempamerkan bakat masing-masing dengan beraksi di kejohanan Sirkit Institusi Pengajian Tinggi (IPT) September depan.

Pengarah Pusat Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Hanafiah Ayub berkata, Sirkit IPT yang kali pertama diperkenalkan itu akan menyaksikan penyertaan kira-kira 1,000 atlet daripada seluruh negara.

Malah, hadiah keseluruhan yang ditawarkan nanti boleh dikatakan cukup lumayan iaitu kira-kira RM150,000 sekali gus akan menaikkan lagi semangat atlet untuk mempamerkan aksi terbaik mereka.

Katanya, Sirkit IPT juga bakal menjadi platform kepada atlet universiti untuk membuktikan kemampuan masing-masing apabila lebih setahun tiada sebarang aksi kompetitif disertai oleh mereka

 

"Sirkit IPT akan dibahagikan kepada tiga zon iaitu pada peringkat awal akan berlangsung di Johor Bharu, sebelum bersambung zon timur di Pahang.

"Terakhir penganjuran sirkit adalah di zon utara namun pembabitan Sabah dan Sarawak pada tahun depan berikutan ketika ini kekangan pergerakan berikutan pandemik Covid-19.

"Selain itu, sirkit ini juga dibahagikan kepada dua kategori iaitu podium dan elit dengan atlet yang berjaya memecahkan rekod turut akan menerima imbuhan sebagai galakan kepada mereka untuk beraksi lebih baik," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Selain itu, Hanafiah berkata, sirkit terbabit juga dilihat antara platform yang boleh menyaksikan lebih ramai atlet berkebolehan mempamerkan aksi luar biasa berdasarkan penganjurannya mengikut zon.

"Saya menjangkakan atlet universiti mungkin akan ada yang pecah rekod berdasarkan situasi semasa yang menyaksikan mereka sudah lama tidak beraksi dalam kejohanan kompetitif," katanya.

 

Credit: Harian Metro

Tarikh Input: 07/06/2021 | Kemaskini: 07/06/2021 | amin_mustafha

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1288/1351
03-9769 4279
SXEYGAF~