Fizikal Bukan Penghalang Untuk Berjaya | SPORTS CENTRE
» NEWS » Fizikal bukan penghalang untuk berjaya

Fizikal bukan penghalang untuk berjaya

KUALA LUMPUR: Kejayaan jaguh trek negara, Azizulhasni Awang merangkul gelaran dunia acara keirin semalam membuktikan saiz fizikal bukan penghalang untuk menempa nama di pentas antarabangsa. Azizulhasni membuktikan usaha gigihnya sejak menyertai kejohanan bertaraf elit pada tahun 2007 kini membuahkan hasil apabila menguasai acara keirin di Kejohanan Trek Dunia di Hong Kong - menewaskan pencabar yang rata-ratanya memiliki kelebihan daripada sudut fizikal. "Ada yang menyatakan saya tidak boleh berjaya dalam sukan kerana saiz fizikal," kata pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 itu dalam akaun Facebook miliknya. "Saya tahu saya berlumba dengan 'gergasi'. Pesaing yang besar dan kuat di luar sana. Namun pertarungan ini saya gambarkan seperti 'David dan Goliath'. "Saya percaya sekiranya kamu mahukan sesuatu, pasti ada jalan untuk mendapatkannya. Kamu hanya perlu berusaha bagi mencapai keinginan itu dan jangan sesekali menyerah kalah. "Saya berjaya melakukannya. Saya sentiasa berdoa kepada Allah setiap hari untuk kejayaan ini dan kali ini di Hong Kong, impian saya untuk bergelar juara dunia menjadi realiti." Kejayaan membanggakan yang dilakar Azizulhasni itu hadir selepas 10 tahun dia bersaing dalam kejohanan berkenaan, sekali gus muncul pelumba negara pertama memenangi pingat emas di kejohanan berprestij itu. Pada perlumbaan final itu, Azizulhasni atau lebih mesra dipanggil Jijoe, berjaya mengatasi saingan sengit beberapa nama besar seperti Matthew Glaetzer dari Australia untuk membuktikan dia paling bertenaga apabila muncul yang pertama melintasi garisan penamat. Tempat kedua menjadi milik pelumba Colombia, Fabian Hernando Puerta Zapata manakala Tomas Bedek (Republik Czech) melengkapkan kedudukan podium. "Malam yang sangat luar biasa buat saya. Saya sudah berusaha gigih untuk mendapatkan gelaran dunia ini," kata Azizulhasni. "Saya percaya, sekiranya saya terus berusaha gigih dan menanam keyakinan dalam diri, masanya akan tiba juga."

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/271451

Date of Input: 14/04/2017 | Updated: 14/04/2017 | amin_mustafha

MEDIA SHARING

SPORTS CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1288/1351
03-9769 4279
SXDTRAO~