Gergasi Besbol Jepun Beri ‘home Run’ Buat BFM | SPORTS CENTRE
» NEWS » Gergasi besbol Jepun beri ‘home run’ buat BFM

Gergasi besbol Jepun beri ‘home run’ buat BFM

Gergasi besbol Jepun beri ‘home run’ buat BFM

Kesudian mereka ibarat ‘kecil tapak tangan nyiru sanggup ditadahkan’ BFM dan Universiti Putra Malaysia (UPM) malah dianggap satu ‘larian wewenang’ (home run) bagi skuad negara  seperti yang kerap diidamkan dalam perlawanan besbol.

Gergasi besbol Jepun beri ‘home run’ buat BFM
SKUAD negara menayangkan pingat gangsa selaku pemenang tempat ketiga Kejohanan Besbol Jemputan Antarabangsa Ketiga, 2019 di UPM, Serdang hari ini.
Oleh KAKI BANGKU

 

PERSEKUTUAN Besbol Malaysia (BFM) mendapat khabar gembira dan cukup bertuah apabila sebuah pasukan gergasi besbol Jepun, Yomiuri Giant menyatakan kesudiannya untuk menjalin kerjasama dalam pembangunan sukan itu di negara ini.

Giant, juara 22 kali Liga Besbol Jepun itu bakal menjadikannya satu realiti di Malaysia dengan dijangka tiba pada November ini malah membawa bersama sebuah pasukan lengkapnya sebagai rakan sepelatih skuad negara.

Kesudian mereka ibarat ‘kecil tapak tangan nyiru sanggup ditadahkan’ BFM dan Universiti Putra Malaysia (UPM) malah dianggap satu ‘larian wewenang’ (home run) bagi skuad negara  seperti yang kerap diidamkan dalam perlawanan besbol.

“Kehadiran Yomiuri Giant ini bakal satu sejarah buat BFM dan UPM selepas pasukan Saitama Seibu Lions  menunjukkan minat untuk membantu pembinaan stadium besbol pertama di universiti ini,” kata Timbalan Presiden persekutuan, Dr. Hanafiah Ayub.

Beliau yang ditemui selepas perlawanan akhir Kejohanan Besbol Jemputan Antarabangsa Ketiga, 2019 di UPM, Serdang, Selangor, menambah, “BFM cukup bertuah kerana mendapat keistimewaan dengan kehadiran gergasi Liga Besbol Jepun dalam menjalankan program itu secara percuma.

“Melaluinya, membuka peluang keemasan buat rakyat Malaysia belajar sesuatu yang menarik tentang sukan besbol yang sudah sekian lama popular di Jepun dan Amerika Syarikat,” katanya yang juga Ketua Pusat Sukan UPM.

Sebelum ini jelasnya, sebuah pasukan Universiti Kitakyushu, Fukuoka juga pernah menyatakan minat untuk menyertai kejohanan tempatan dan menjalani latihan dengan pasukan besbol UPM bagi meningkatkan tahap kemampuan dan saingan.

Sementara itu, skuad negara yang dibimbing dua jurulatih dari Jepun, Katsumi Harada dan Shota Ueto, terpaksa berpuas hati sebagai pemenang tempat ketiga Kejohanan Besbol Jemputan Antarabangsa selepas menewaskan UPM 13-6 dalam perlawanan penentuan klasifikasi hari ini.

KATSUMIi Harada, ketua jurulatih skuad besbol Malaysia dari Jepun.

Skuad Harada membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 di belakang Akademi Besbol dan Sofbol India (IBSA) yang mempertahankan kejuaraan sejak 2017 sekali gus juara kali ketiga berturut-turut dengan menundukkan Sunway Grizzlies 15-12.

IBSA mengaut piala dan RM3,000 sementara Grizzlies, kelab tempatan yang diperkuat beberapa pemain warga asing, meraih RM2,000 selaku naib juara.

Terdahulu skuad yang sudah dibimbing Harada sejak 2017 ini, mengorak langkah kecundang pada peringkat Kumpulan A Khamis lalu, kepada IBSA 10-13 namun bangkit menundukkan KL Dragons 24-1 dan membenam BSA 15-2 dalam suku akhir.

Ketika tinggal selangkah lagi untuk ke final, kemaraan skuad negara disekat lagi oleh IBSA yang mengatasinya 11-4 dalam separuh akhir semalam.

Hanafiah menambah, BFM masih cuba melobi penyertaan skuad negara ke Sukan SEA Ke-30 di Filipina dari 30 November hingga 11 Disember ini.

“Pasukan ini masih baharu dibentuk jadi perlu banyak pendedahan antarabangsa namun terpulang kepada Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia untuk memutuskannya (bulan ini),” katanya.

Kali terakhir penampilan skuad besbol negara dalam Sukan SEA Indonesia 2011 menyaksikan mereka hanya menduduki tempat corot dalam saingan lima pasukan yang dijuarai Filipina.

Harada juga merupakan jurulatih Indonesia yang meraih pingat perak dan hanya kalah sekali dan kurang satu mata dengan pasukan keempat terbaik Asia, Filipina dalam temasya dwitahunan serantau ke-26 itu.

Date of Input: 22/07/2019 | Updated: 10/06/2020 | amin_mustafha

MEDIA SHARING

SPORTS CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1288/1351
03-9769 4279
SXDTNAi~