Sepak Takraw, Darwin | SPORTS CENTRE
» NEWS » Sepak Takraw, Darwin

Sepak Takraw, Darwin

UPM RAIH 2 EMAS DALAM ACARA SEPAK TAKRAW DI KEJOHANAN ANTARABANGSA SUKAN ARAFURA, DARWIN

Darwin Australia -  Pasukan Sepak Takraw Universiti Putra Malaysia telah menyertai Kejohanan Arafura Games yang berlangsung pada 30hb April hingga 4hb Mei 2019 bertempat di Darwin Australia bagi acara Sepak Takraw. Dalam acara ini Universiti Putra Malaysia telah menjadi Johan bagi acara beregu dengan menewaskan pasukan University National Jakarta Indonesia dan menjadi Johan bagi acara regu dengan menewaskan pasukan Singapura pada perlawanan akhir. Bagi perlawanan peringkat kumpulan bagi acara beregu, pasukan Universiti Putra Malaysia berjaya menewaskan pasukan dari Australia B, Indonesia B, Philipina dan Singapore A. Manakala bagi acara regu pasukan Universiti Putra Malaysia berjaya menewaskan pasukan Australia A, Philipina, India dan Universiti National Jakarta, Indonesia di peringkat kumpulan.

Kejayaan bersejarah buat pasukan Universiti Putra Malaysia kerana ini kali pertama pasukan Sepak Takraw Universiti Putra Malaysia menjadi johan bagi kedua-dua acara. Kali pertama Universiti Putra Malaysia menyertai kejohanan Sepak Takraw Arafura Games adalah pada tahun 2011 dan tewas kepada pasukan Thailand di peringkat akhir. Antara negara lain yang turut menyertai acara Sepak Takraw ini ialah Indonesia (2 pasukan), Singapura (2 pasukan), India (1 pasukan), Philipina (1 pasukan), Australia (2 pasukan) dan Malaysia (1 pasukan). Pasukan Sepak Takraw Universiti Putra Malaysia di wakili oleh Shahrulnizar Nurhalim (Pengurus), Mohamad Razizi Hj. Midin (Jurulatih) dan pemain Mohamad Suhairi Sulaiman, Meor Mohd Zulfikar Mat Amin, Mohamad Danial Baharin, Wan Muhamad Anas Muhaimi Wan Mohd Asri, Muhamad Lutfil Hadi Azmi. Semua atlit ini adalah mahasiswa sepenuh masa di UPM dan turut beraksi dalam Liga Sepak Takraw Kebangsaan (STL) tahun 2018. Penyertaan pasukan sepak takraw UPM ke kejohanan ini adalah sebagai sebahagian program pembangunan atlit sepak takraw UPM bagi tahun 2019 serta persiapan menjelang Kejohanan Sukan Antara Universiti (MASUM) dan Kejohanan Liga Sepak Takraw Kebangsaan 2019. Dua lagi program pendedahan kejohanan antarabangsa yang dijangka akan disertai oleh pasukan ini adalah siri kejohanan di Thailand dan Indonesia.

Kejohanan Arafura Games ini dianjurkan oleh Kerajaan Northen Territory Darwin Australia dimana seramai 1500 atlet dari pelbagai negara telah menyertai kejohanan ini antaranya negara Malaysia, Indonesia, Singapura, Philipina, China, Papua New Guine, Brunei, Cambodia, American Samoa, Austria, Canada, Chinese Taipei, Cook Islands, Republic Czech, England, Fiji, France, Great Britain, Hong Kong China, Hungary, India, Jepun, Kazakhstan, Kiribati, Macau China, Malta, Marshall Islands, Nauru, Nepal, New Caledonia, New Zealand, Romania, Russia, Samoa, Solomon Islands, Thailand, Timor-Leste, Tonga, Tuvalu, Ukraine, UAE, Amerika Syarikat, Uzbekistan, Vanuatu dan Vietnam dan tuan rumah Australia.

Dalam Kejohanan Arafura Games 2019 sebanyak 17 acara sukan dipertandingkan iaitu Olahraga, Badminton, Bola Keranjang, Bola Keranjang 3 x 3, Bola Tampar Pantai, Bola Tampar Dewan, Tinju, Bola Sepak, Muay Thai, Bola Jaring, Perahu Layar, Renang, Skuash, Ping Pong, Tenis, Sepak Takraw dan Angkat Berat. Selain itu dianjurkan juga sukan Para bagi acara Olahraga, Renang, Tenis dan Ping Pong.

Date of Input: 13/05/2019 | Updated: 05/08/2019 | amin_mustafha

MEDIA SHARING

SPORTS CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1288/1351
03-9769 4279
SXDTNAx~